SEJARAH RUNTUHNYA MANDAT RAKYAT DI MALAYSIA 2020
SEJARAH RUNTUHNYA MANDAT RAKYAT DI MALAYSIA
Dekad baru dengan menantikan pencapaian Wawasan 2020 di
Malaysia mencatat sejarah tersendiri. Bermula dengan jatuhnya sebuah parti
gabungan terbesar dan terlama dalam sejarah pemerintahan selepas merdeka iaitu
Barisan Nasional (BN) pada 9 Mei 2018 sehingga robohnya kerajaan yang dipilih
melalui kuasa undi rakyat itu.
9 Mei 2018 melalui PRU ke-14, tiada siapa menyangka sejarah
bakal tercipta demikian. Satu Malaysia terpana, satu dunia terkesima bagaimana
Malaysia dengan sistem pemerintahan demokrasi berparlimennya dapat dilaksanakan
dengan jayanya tanpa rusuhan, tanpa menumpahkan darah, tanpa kekerasan.
Mereka yang biasa menang dan berada di tampuk pemerintahan
tersentak, manakala yang baru mengambil alih kerajaan terkejut dengan
perjuangan dan kemenangan yang tiba-tiba.
Maka bermulalah episod pemerintahan yang dahulunya
pembangkang kini menjadi kerajaan. Yang menjadi kerajaan kini menjadi
pembangkang.
Seluruh Malaysia malahan dunia mula dilanda kekecohan.
Segala kerosakan kerajaan lama terbongkar. Rakyat buat pertama kalinya
menyaksikan wang tunai jutaan ringgit dan harta benda yang melingkari
pemimpin-pemimpin negara terdahulu. Hermes Birkin tiba-tiba menjadi jenama yang
masyhur kepada netizen. Yang tidak tahu-menahu menjadi tahu.
Sampai ketikanya keghairahan menyelongkar kesalahan pemimpin
dahulu menjadi tepu. Rakyat melalui media sosial mula memerhati bagaimana
kerajaan baharu memimpin. Sentimen-sentimen dimainkan seperti biasa oleh mereka
yang berada dalam politik. Ketangkasan memainkan persepsi menjadi senjata
ampuh. Yang berjaya mengatur strategi dialah yang akan menang.
Setelah hampir dua tahun berlalu, rakyat mula melihat
memerhati dan menuntut perubahan-perubahan yang boleh dilakukan. Terkadang
mereka terikut sentimen dan seolah-olah lupa bahawa kerajaan yang baru dibentuk
ini sedang melaksanakan pembaikan demi pembaikan. Namun, ianya tenggelam dalam
sentimen yang dimainkan oleh pasukan pembangkang yang sentiasa mencari
ruang-ruang kesalahan.
Ketika kerajaan baru sedang bertungkus lumus membersihkan
dan menstruktur semula pemerintahan melalui kementeriannya, seteru politik
terus memainkan sentimen isu perkauman dan agama. Sehingga kelihatan di mata
rakyat, kerajaan yang sedang dipilih ini tidak dapat mentadbir negara dengan
baik, tidak dapat menangani isu, tidak dapat memelihara Islam dan mengetepikan
bangsa sendiri.
Ekonomi dunia yang sedang merudum secara global juga tidak
menjadi asas kritikan. Tohmahan terus-menerus dilempar bahawa kerajaan PH tidak
mampu membangunkan ekonomi negara. Pelbagai usaha dilakukan namun usaha-usaha
tersebut tenggelam dalam sentimen yang sentiasa lebih tular mengkritik
kelemahan berbanding pembaharuan dan pembaikan yang dilakukan.
Belum sampai dua tahun memerintah, pakatan yang memerintah
ini kelihatan mula goyah dengan isu dalaman politik mereka. Pelbagai isu muncul
terutama peralihan Perdana Menteri sehingga sampai saat 23 Februari, pakatan
ini terbubar apabila 11 ahli PKR mengisytiharkan keluar parti. PPBM yang
menjadi sebahagian pakatan kerajaan yang memerintah dan menang semasa PRU14
pula mengisytiharkan keluar daripada pakatan yang dibentuk.
Tambah mengejutkan pada 24 Februari, Tun Mahathir sebagai
Perdana Menteri meletakkan jawatan.
Runtuhlah sebuah kerajaan yang mendapat mandat rakyat
melalui pilihan raya yang sah sekelip mata, tanpa rakyat dapat berbuat apa-apa.
Undang-undang dan perlembagaan mengambil tempat apabila blok
yang memerintah sudah tidak mempunyai sejumlah majoriti mudah iaitu 112 ahli
parlimen untuk membolehkan sesuatu pakatan itu memerintah.
Beberapa hari Malaysia buat pertama kalinya mempunyai
Perdana Menteri Interim. Kemelut pula terus melanda untuk pemilihan Perdana
Menteri antara dua blok pakatan iaitu PKR, serpihan PPBM, Amanah dan DAP, dan
PPBM, UMNO dan PAS.
Kelihatan yang bersama Pakatan Harapan kecewa dengan tragedi
ini, terutama pada 3 Mac akhirnya YDPA melantik wakil pakatan PPBM, komponen BN
(UMNO, MCA, MIC) dan PAS menjadi Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin
Yassin.
Sejarah terlakar, runtuhnya sebuah mandat rakyat yang
mengundi menolak BN dan PAS sebagai pentadbir negara. Namun akhirnya mereka
yang ditolak ini memegang tampuk kuasa. Yang sebelum ini berusaha untuk
memperbaiki pentadbiran yang korup, terpinggir dan kehilangan kuasa. Rakyat
menjadi mangsa.
Mereka yang dipilih melalui Pakatan Harapan yang menggunakan
satu logo parti pada PRU14 telah pun merungkaikan pakatan itu setelah menang
dan menerima amanah rakyat. Mereka bersama dengan blok parti yang kalah kini
telah mengkhianati sebuah mandat yang diberikan dengan kesatuan yang dicanang
dan dihidangkan untuk rakyat.
Mereka yang memilih untuk berubah pakatan setelah dipilih,
seolah-olah menghukum pengundi yang tidak mengerti sepak terajang dan
percaturan politik masing-masing.
Rakyat sekali lagi terpana dan terkesima, tidak mengerti
bagaimana ia boleh berlaku. Ia bukan rampasan kuasa oleh pembangkang. Namun, ia
adalah perpecahan yang berlaku dalam Pakatan Harapan itu sendiri yang sebelum
ini sama-sama berjuang. Mereka yang sama-sama di pentas dan sama-sama berpanas,
namun tegar meninggalkan barisan sahabat seperjuangan dan memilih untuk
bergabung dengan blok lain dan membentuk kerajaan dan menerima jawatan menteri.
Manakala blok yang kalah menerima pakatan baru ini untuk
membentuk kerajaan seolah-olah hilang prinsip perjuangan atau perjuangan selama
ini sememangnya tiada prinsip.
Ia satu sejarah tragis dalam politik dan pemerintahan di
Malaysia pada tahun 2020. Semoga ia menjadi pengajaran buat semua pihak. Semoga
ia lebih mematangkan ahli politik di Malaysia dan juga rakyat Malaysia.
Sejarah ini tidak akan berhenti di sini. Krisis yang berlaku
ini tidak pasti di mana penghujungnya dalam tempoh tiga tahun lagi iaitu
sehingga apabila tarikh PRU15 diisytiharkan.
Sehingga itu, rakyat akan terus menunggu percaturan poltik seterusnya
apabila Dewan Rakyat yang akan bersidang pada 18 Mei. Apakah yang akan berlaku
dalam Dewan Rakyat kelak? Rakyat akan terus menjadi pemerhati.
#shmjourney
#Tragedi2020
Comments
Post a Comment