Inilah Kerehatan Sebenar - Dedikasi buat Arwah Akh Hasni Marjumat
BERITA MELULUHKAN JIWA
10 OGOS 2017 | MALAM JUMAAT - Terima berita kembalinya seorang sahabat, teman dan guruku iaitu Roshasni Marjumat. Walaupun ia berita yang tidak mengejutkan namun perkhabaran itu sangat meruntun kesedihan. Tergambar kembali segala kenangan bersamanya dalam aktiviti-aktiviti dalam jamaah. Apatah lagi kenangan bersama ketika satu pejabat yang mana beliau menjadi bossku.
Berita kesedihan ini dimulai dengan berita beliau mengidap kanser buah pinggang. Suamiku sebagai naqib beliau memaklumkan kepadaku. Termenung aku seketika bila mendengar berita tersebut. Seperti tidak menyangka bahawa beliau akan mengidap penyakit itu. Apatah lagi suamiku memberitakan bahawa penyakitnya pada peringkat yang agak kritikal setelah disahkan oleh hospital. Terus aku terbayangkan wajahnya yang sentiasa senyum dan mempamerkan sikap kelembutan beliau dalam tutur kata sepanjang mengenalinya.
Aku sendiri tidak mengingati bagaimana permulaan aku mengenalnya. Namun yang pasti beliaulah yang banyak membantuku dan rakan seperjuangan dalam Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia - KARISMA. Bila ada saja aktiviti yang melibatkan perancangan yang strategik maka beliaulah yang kami cari. Dari peringkat KARISMA IPT di UKM sehinggalah peringkat KARISMA Nasional. Kaedah beliau membimbing sangat sesuai dengan jiwa dan tahap pemikiran kami pada waktu itu.
PERIBADI
Beliau seorang yang sangat penyabar. Tidak pernah melihat diri beliau marah sejak mengenalinya. Wajahnya sentiasa terukir senyum setiap kali berjumpa. Bahkan ketika menziarahi beliau di hospital ketika sakit pun beliau masih mengukirkan senyum indah dan mesranya seperti biasa.
Bila aku bertemu berbincang atau mengadu masalah, beliau mendengar dengan baik. Beliau juga akan memberikan buah fikiran dan juga nasihat yang baik. Sekiranya aku datang bercerita dalam keadaan sedih atau marah, beliau akan menenangkan dengan suara yang lembutnya seperti biasa. Beliau juga tidak lokek dengan pertolongan-pertolongan.. berkali-kali juga aku menumpang kereta beliau bersama isterinya ke tempat-tempat program. Mereka memang baik dan pasangan yang sweet. Kedua-duanya memiliki peribadi yang baik.
AKTIVISME
Mengenali pada awalnya dalam keadaan beliau berkerja sendiri. Kalau tak silapku Total Learning nama syarikatnya. Bila ditanya kenapa tak kerja makan gaji.. ingin bebas supaya mudah melaksanakan kerja dakwah. Tidak mahu terikat. Banyak aktiviti kami bersama dalam pembangunan adik-adik KARISMA. Bila KARISMA ingin melaksanakan strategik plannning atau aktiviti-aktiviti berbentuk perancangan dan motivasi, maka nama beliau dan rakan karibnya Akh Razali Rashid akan ku cadangkan kerana pembawakan mereka yang sesuai dengan zaman kami yang belia di IPT. Beliau juga terlibat dalam remaja bukan sahaja di JIM pada waktu itu namun dengan remaja setamannya. Memang beliau aktif di mana sahaja..malah kami juga pernah bersama dalam program yang mendekati golongan kecelaruan jantina di Janda Baik. Baik terbayang senyuman tatkala gurauan beliau kepada peserta perlu panggil namanya Hasni sahaja.Bukan Ros. Pada waktu itu Ummi Rose (Rosmawati Zainal) pun ada. Kami juga ketawa dengan gurauan tersebut sebab memahami latar belakang peserta yang hadir.
Beliau juga pernah menjadi JKP JIM ketika mana beliau menjadi KPO JIM. Beliau juga pernah menjadi YDP JIMKL. Lama juga beliau menjawat jawatan sebagai YDP JIMKL. Beliau pernah menjemputku untuk bersama dalam barisan pimpinan JIM KL. Beliau sangat mengenaliku dan aktivismeku sejak di UKM. Jadi beliau mengajakku untuk bersama-sama dalam barisan kepimpinan beliau. Namun keadaan tidak mengizinkan aku turut berada dalam barisan kepimpinanya pada waktu itu. Banyak sekali program-program yang beliau telah mengetuai pengurusannya dan banyak juga hubungan-hubungan antara NGO dan badan-badan lain terjalin dengan kepimpinannya.
DIA BOSSKU
Bila ura-ura beliau akan ditawarkan sebagai KPO Pejabat kami di Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia, alangkah genbiranya hati. Hati mana yg tak gembira sebab kenal sangat dengan boss yang bakal masuk nanti. Sebelum kehadirannya setahuku belum pernah ada KPO di pejabat JIM. Kehadirannya sebagai KPO dan kelulusan barisan JKP memberikan kami KPO pada waktu itu sangat kuhargai. Apatah lagi kakitangan semakin ramai dan keperluan seorang KPO sangat penting. Adakah anda bayangkan seorang berpengalaman seperti beliau yang boleh menjawat jawatan tinggi di luar dangaji yang tinggi namun sudi menjadi KPO ibu pejabat JIM dengan gaji yang kecil berbanding pasaran di luar? Dialah akh Hasni Marjumat yang datang ke pejabat di Taman Melawati dari rumahnya Antara Gapi yang jauh..
Sepanjang beliau menjadi KPO di pejabat JIM banyak perkara-perkara yang berubah. Setiap tahun staf ada hari keluarga di luar pejabat. Staf juga ada RETREAT yang mana kami di peringkat pejabat perlu memahami KPI masing-masing sebagai staf untuk membantu barisan JKP JIM pada waktu ini. Kami ada arah tuju sebagai staf. Jika sebelum ini kami hanya melaksanakan kerja sahaja dengan KPI diberi, namun kehadirannya kerja kami lebih tersusun dengan perincian kerja. Beberapa tempat juga kami pergi sambil bercuti-cuti, berhari keluarga memantapkan teamwork dan ukhuwwah. Antaranya di Bagan Lalang, Port Dickson, Ulu Yam, Sg Tua. Memang gembira sangat ketika beliau ada sebagai KPO di pejabat JIM pada waktu itu.
Namun kemudiannya beliau berhenti dan meneruskan kerjaya dalam kumpulan PROFESS di Sage Consulting. Dalam keadaan ekonomi yang semakin tidak baik, beliau akhirnya memilih kerjaya lain. Namun kerjayanya masih dekat dengan masyarakat kerana membuat latihan pembangunan. Telah jadi darah dagingnya sejak awal membangun insan maka sehingga hujung hidupnya dia membangunkan insan.. Ujian kesihatannya juga membangunkan insan kerana walaupun beliau sakit, beliau tetap ceria, tabah dan tidak lokek dengan senyuman demi senyuman.. walaupun kesakitannya kian memamah tubuhnya sehingga kurus, wajah ceria dan kuntuman senyumnya tidak pernah hilang daripada wajahnya.
KEREHATAN ABADI
Hati memang tidak dapat menahan pilu dan air mata tidak dapat ditahan mengenangkan kenangan indah menjadi sebahagian daripada sahabatnya yang rapat dengannya. Semoga Allah menganugerahkan tempat kembali yang terbaik buatnya.
Inilah kerehatan sebenarnya... tiada lagi fikiran-fikiran dunia yang penuh hiruk pikuk dan pancaroba. Kini beliau tenang di sana menghadap Tuhannya. Berehatlah di taman syurgamu sahabatku, temanku dan murabbiku. Semoga Allah menganugerahkan tempat kerehatan yang terbaik. Engkau telah melaksanakan janjimu kepada Rabbmu dan pergi mendahului kami. Semoga kehidupanmu menjadi ibrah kepada kami... ketika menziarahmu di hopsital ada kata dalam hatiku yang tidak terluah kepadamu : "akhi nanti di Syuga akhi jangan lupa tanya di mana ana kalau akhi tak jumpa ana ya" .
Semoga aku dapat bertemumu lagi kelak di Syurga walaupun aku rasakan diriku tidak layak berada di syurga bersamamu...........
Comments
Post a Comment